Tun M sanggup potong elaun demi rakyat terjejas Covid-19, MP lain bagaimana?

Tun M sanggup potong elaun demi rakyat terjejas Covid-19, MP lain bagaimana?

Tun Dr Mahathir menyatakan kesanggupan untuk pencennya sebanyak 10 peratus dipotong dengan syarat ia digunakan untuk membantu rakyat yang hilang sumber pendapatan.

Bekas Perdana Menteri itu mengaku keputusan itu diambil memandangkan beliau tidak terjejas dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini.

“Saya sanggup dipotong sebanyak 10 peratus dari pencen saya asalkan ia digunakan untuk mengurangkan beban mereka yang telah kehilangan sumber pendapatan sama sekali.

“Saya akui kehidupan saya tidak sedikitpun terjejas kerana lockdown dan SOP yang terpaksa saya amalkan,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan menerusi Facebook semalam.

Kelmarin, Mahathir mencadangkan agar golongan berpendapatan tinggi dipotong sebanyak 10 peratus susulan wabak Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, sudah menjadi kelaziman baginya untuk mengusulkan pemotongan gaji 10 peratus terhadap dirinya, menteri, timbalan menteri, dan pegawai tinggi kerajaan apabila beliau menjadi perdana menteri.

“Sekarang, gaji sudah naik berkali ganda daripada dahulu. Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.

“Untuk mengurangkan jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10 peratus daripada mereka yang selamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar, ” tambahnya lagi.

COMMENTS