Tok Uban anggap Shahidan terdesak pertahan Belanjawan 2021

Tok Uban anggap Shahidan terdesak pertahan Belanjawan 2021

Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menganggap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai amat terdesak mempertahankan Belanjawan 2021.

Beliau yang juga digelar Tok Uban berkata, panggilan pengkhianat oleh Shahidan di Dewan Rakyat, hari ini berlaku ketika Bersatu sebagai pendukung utama PN penuh sarat dengan ‘pengkhianat’.

Terdahulu, Shahidan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 siang tadi menganggap Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 sebagai mengkhianati rakyat.

“Betul-betul terdesak sangat Datuk Shahidan Kassim sehingga tak sokong Belanjawan 2021 dah boleh jadi pengkhianat.

“Dan dia pula MP (Ahli Parlimen) BN. BN bukan dalam PN pun. Jadi, macam mana dia boleh jadi pengerusi ‘backbenchers’ Perikatan Nasional,” tempelak Shahrir di Facebook beliau tadi.

Bekas Pengerusi Felda itu juga menegaskan kesemua ahli Parlimen Bersatu sudah lazim mengkhianati rakan-rakan dan perjuangan asal mereka.

“Sekarang Shahidan pula guna istilah ‘pengkhianat’ terhadap mereka yang tidak sokong Belanjawan 2021,” tempelak bekas Ahli Parlimen Johor Bahru tersebut.

Abang kepada pemimpin AMANAH, Khalid Samad itu juga menyertakan tagar (tanda pagar) “BN berjaya bina negara” dan “muafakat lebih baik dari terikat”.

Belanjawan 2021 dijangka diundi di Dewan Rakyat minggu depan dengan sokongan 43 ahli Parlimen BN diperlukan Muhyiddin untuk Belanjawan 2021 diluluskan.

Pada masa ini kerajaan PN atau kerajaan tebuk atap seperti disebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

 

COMMENTS