PANAS! Tarif elektrik bakal naik tahun 2021?

PANAS! Tarif elektrik bakal naik tahun 2021?

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal mengumumkan tarif elektrik untuk 2021 dalam minggu ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ahli Parlimen BN Lenggong itu bagaimanapun tidak memberitahu tarikh tepat dan hanya memberi bayangan akan mengumumkannya sebelum Hari Natal.

“Tarif elektrik kita akan umumkan dalam minggu ini… minggu ini. Tunggu,” lapor Astro Awani.

Shamsul Anuar berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), di Putrajaya kelmarin.

Menurut bekas Pengerusi Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tersebut, pelbagai inisiatif sebelum ini dilaksanakan kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat.

“Setakat 31 Oktober 2020, manfaat diskaun elektrik telah dinikmati 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung dengan peruntukan RM1.9 bilion,” jelasnya.

Pengumuman tarif baharu kerajaan PN berlaku ketika sebahagian besar rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dr Shamsul Anuar Nasarah

Jun lalu, kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik dan bukan domestik kekal tanpa sebarang surcaj bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tenaga, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga akhir tahun ini.

Justeru, kadar surcaj sebanyak dua sen/kilowatt-jam (kWj) diturunkan kepada 0 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik, iaitu pengguna komersial dan industri.

ICPT adalah sebahagian daripada Kerangka Dasar Penetapan Baharu Tarif Elektrik yang dikenali sebagai Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang dilaksanakan sejak Januari 2014.

 

COMMENTS