Susahlah begini… zon hijau tak payahlah PKPB!

Susahlah begini… zon hijau tak payahlah PKPB!

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyarankan Putrajaya mempertimbangkan semula keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lebih banyak negeri dan wilayah mulai esok.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, terdapat mukim yang dikenakan PKPB mempunyai kes Covid-19 yang dilaporkan rendah atau tiada sama sekali.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan perlunya keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan menyelamatkan mata pencarian rakyat.

Beliau memberi contoh di Johor, hanya ada satu daerah dengan lebih dari 40 kes, atau dikategorikan sebagai “zon merah” manakala tiga daerah merupakan “zon hijau” iaitu Mersing, Segamat dan Batu Pahat.

“Kerajaan harus mempertimbangkan kembali keputusan untuk mengenakan PKPB mengambil kira pengajaran dari 10 bulan terakhir memerangi pandemik Covid-19 dengan fleksibiliti yang lebih baik,” katanya.

Kit Siang berpendapat langkah itu bagi membolehkan rakyat Malaysia meneruskan hidup tanpa merosakkan mata pencarian dan harapan pemulihan ekonomi negara.

Mulai esok, kira-kira 26 juta penduduk di 10 buah negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB selama empat minggu sehingga 6 Disember ini.

Sehingga semalam, jumlah kes positif Covid-19 terus mencatatkan empat angka bagi lima hari berturut-turut apabila sebanyak 1,168 kes baharu direkodkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 39,357 kes setakat jam 12 tengah hari semalam manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 11,666 kes.

Sabah mencatatkan rekod harian Covid-19 tertinggi diikuti negeri di Lembah Klang dengan pertambahan kluster baharu setiap hari.

COMMENTS