Sebutlah setakat termampu asalkan makna tidak menyimpang

Sebutlah setakat termampu asalkan makna tidak menyimpang

Agama ini mudah untuk diamal. Nabi tidak pernah menyusahkan umatnya. Hanya sebahagian umatnya yang menyulitkan agama ini untuk dilihat lebih beragama berbanding orang lain.

Misalnya, membaca al-Quran. Ilmu tajwid, kemahiran tarannum, ilmu waqaf ibtida’ dan ilmu makharij al-huruf bukan untuk menyulitkan tetapi bertujuan menampilkan mukjizat al-Quran.

Sebahagian orang terlalu mempersulitkan amalan membaca al-Quran dengan bebanan makhraj huruf dan hukum tajwid. Sebutan dhad, ain, ha’, sad diberi penekanan sehingga kadang-kadang di luar keupayaan orang Melayu.

Huruf- huruf al-Quran adalah huruf Arab. Bagi orang Melayu, sebutlah setakat terupaya asalkan sebutan itu tidak menyimpangkan makna al-Quran apabila di dengar oleh orang yang faham.

Demikian dengan waqaf dan ibtida’ (memberhenti dan memulakan bacaan). Dalam mushaf memang ada tanda tempat sesuai untuk berhenti dan memulakan bacaan sebagai panduan.

Namun, ada ayat yang panjang yang tidak tercapai nafas untuk dihabiskan terutama bagi mereka yang kurang bersenam atau berusia tua. Bagaimana?

Berhentilah di mana-mana hujung kalimah dengan mematikan huruf terakhir kalimah itu. Jika sesuai, mulakan terus dengan kalimah selepasnya atau ulang balik satu atau dua kalimah sebelumnya.

Pilihlah kemudahan kerana memang agama ini mudah. Menyusahkan bukan ajaran agama. Fokus kepada menghampirkan diri dengan al-Quran bukan mencipta pelbagai peraturan untuk semakin jauh daripada kitab itu.

Waqaf ibtida’ begitu diperhati oleh ulama tafsir. Al-Qurtubi misalnya menafsirkan ayat al-Quran dengan makna yang berbeza apabila memberhenti atau memulakan bacaan pada lokasi yang berbeza.

Namun, bagi pembaca yang tidak memahami ayat yang dibaca, di mana berhenti dan mula sama sahaja. Justeru, tidak wajar rasa terbeban sangat dengan waqaf dan ibtida’ sehingga menjejaskan fokus untuk iltizam dengan bacaan al-Quran secara harian.

Bacalah al-Quran, usah rasa terbeban. Jauhi diri daripada golongan suci yang berasa diri mereka lebih kuat beragama berbanding orang lain.

Islam turun sebagai cahaya dan hidayah, bukan untuk menjadi bahan pertandingan siapa lebih Islam.

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional dan mantan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

COMMENTS