PRU-15 lagi empat bulan, semua parti kerajaan tubuh Majlis Presiden

PRU-15 lagi empat bulan, semua parti kerajaan tubuh Majlis Presiden

Sebanyak 13 parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti masing-masing.

Pembentukan Majlis Presiden PN berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dikatakan akan berlangsung sebelum 13 April 2021 iaitu sebelum bermulanya bulan Ramadan tahun depan.

Untuk rekod, sidang Parlimen ke-14 berakhir pada 16 Julai 2023.

Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata penubuhan Majlis Presiden itu dipersetujui oleh semua ketua parti dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Bagi menyelaraskan Majlis Presiden terbabit, satu sekretariat yang dianggotai oleh semua Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN ditubuhkan.

“Pada mesyuarat itu parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ketua parti yang hadir pada mesyuarat itu adalah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Yang turut hadir mewakili ketua parti yang lain adalah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Edward Dagul; Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Guan Dee Koh Hoi.

Untuk rekod, gabungan parti PN membentuk kerajaan menggantikan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu dengan hanya mempunyai majoriti mudah dua kerusi.

Umno pada masa ini memiliki kerusi paling banyak dalam kerajaan PN dengan 39 kerusi Parlimen diikuti Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendapat sokongan enam wakil rakyat asal parti itu, 15 Ahli Parlimen yang melompat dari Umno ke Bersatu, dan 10 wakil lagi melalui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR.

Pendaftaran PN kemudiannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu.

Pada 15 Disember lalu, kerajaan PN hanya mempunyai perbezaan majoriti tiga undi ketika Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dibacakan kali ketiga

Majoriti tipis dengan 111 wakil rakyat menyokong itu bagaimanapun menyelamatkan kerajaan PN daripada jatuh ke tangan blok pembangkang yang didominasi Pakatan Harapan (PH).

COMMENTS