Pinda Akta 355 untuk kenakan hukuman lebih berat kepada LGBT

Pinda Akta 355 untuk kenakan hukuman lebih berat kepada LGBT

Kerajaan bercadang meminda Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pendekatan itu juga diharap mampu memberi kesan kepada golongan berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk membuat pindaan daripada kadar hukuman sedia ada supaya hukuman itu lebih memberi kesan kepada mereka.

“Setakat ini di bawah Akta 355, hukuman yang dikenakan adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

“Pindaan itu perlu bagi menangani salah laku golongan berkenaan. Namun, buat masa ini, kita mengguna pakai enakmen sedia ada,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi agama dan penguat kuasa agama negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berkelakuan tidak sopan selain berpakaian kontra dengan jantina.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa maksiat daripada LGBT itu, kita tidak izinkan mereka berkelakuan seperti itu.

“Individu yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan juga diminta membuat laporan supaya tindakan tegas boleh diambil termasuk proses pendakwaan.

“Untuk kes berkenaan, tumpuan kita lebih kepada Lembah Klang berbanding negeri lain seperti Kelantan kelihatan tidak begitu ketara,” katanya.

Ditanya berhubung hasil siasatan perkahwinan wanita Malaysia, Illi Najwa Saddique dengan kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat lengkap berhubung isu berkenaan.

“Saya juga tidak pasti sama ada wanita berkenaan sudah pulang ke Malaysia atau belum.

“Namun, ketika kes ini kecoh, keluarga wanita berkenaan berusaha untuk membawa pulang segera wanita berkenaan,” katanya.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/665773/cadang-pinda-akta-355-hukuman-lebih-berat-untuk-lgbt

COMMENTS