Pengguna dah cakap harga minyak masak naik, KPDNHEP nak nafi lagi?

Pengguna dah cakap harga minyak masak naik, KPDNHEP nak nafi lagi?

Ekoran kenaikan harga beberapa barangan asas seperti minyak masak dan bawang, orang ramai mula membuat aduan dan meluahkan rasa tidak puas hati di laman Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Melalui Facebook rasmi KPDNHEP, agensi itu menafikan wujudnya pencatutan harga barang terutama harga minyak masak seperti yang dilaporkan seorang pengadu yang menggunakan nama FB Kemah Keming.

Penafian itu bagaimanapun mengundang kemarahan pengguna lain yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana sememangnya wujud kenaikan harga minyak masak.

Pengadu mendakwa wujudnya kenaikan harga minyak masak melebihi pasaran semasa iaitu lebih RM27 di pasaraya Tunas Manja, Kuala Rompin.

Salah seorang pengguna turut menyertakan harga minyak masak yang mengenakan harga sehingga RM27.75 untuk minyak jenama Saji 5kg.

“Aku ambil gambar ini kat Aeon Big Alamanda. Hari jumaat sebelum PKP kot aku ambil ini. Lebih RM27. Harga di Aeon Big mesti lah sama satu Malaysia,” tulis Ashraff Daniel.

“Mydin semalam minyak Saji dan Alif pun RM27++,” kata pengguna lain.

Ada juga yang meminta pegawai KPDNHEP melakukan semakan di Taiping kerana berlakunya pencatutan dengan harga yang melambung.

Biarpun penjelasan sudah diberikan, namun para pengguna menganggap KPDNHEP tidak memantau harga barangan asas sehingga harga barang naik mendadak.

“Pasaraya Terengganu tak nak check ke. Kelmarin beli minyak cap Buruh 5kg RM24.99,” tulis Mohd Mustaqim.

Seorang lagi pengguna, Faiz JoYs menyertakan gambar minyak jenama Buruh 5kg yang dijual dengan harga RM24.50 di pasaraya 99 speedmart.

Menurut KPDNHEP, harga semasa minyak Buruh ialah RM22.99 berbanding harga dahulu yang tidak dinyatakan tahun bila, iaitu RM20.99

Bagi minyak Saji, harga semasa (RM26.99), berbanding harga dahulu (RM25.99). Harga semasa minyak Seri Murni (RM22.99), harga dahulu (RM22.70)

Harga semasa Vesawit (RM25.99), harga dahulu (RM23.99). Manakala Neptune Lite pula berharga (RM22.99) berbanding harga dahulu (RM21.50).

Sementara itu KPDNHEP memberitahu, minyak masak botol termasuk 5kg adalah tidak dikawal dan dipengaruhi harga minyak sawit di pasaran dunia serta tidak disubsidi oleh kerajaan.

 

sumber: MalaysiaDateline

COMMENTS