PELIK! Murid sekolah boleh dapat, mahasiswa mengapa tidak?

PELIK! Murid sekolah boleh dapat, mahasiswa mengapa tidak?

Pembentangan Belanjawan 2021 memperlihatkan bahawa kerajaan tidak “mesra mahasiswa” malahan memberi peruntukkan sebanyak RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hanya dimanfaatkan untuk penambahbaikan infrastruktur IPT iaitu Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM11.58 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM2.82 bilion.

Belanjawan kali ini menganaktirikan mahasiswa jika hendak dibandingkan 1.5 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun yang menikmati e-wallet sebanyak RM50 secara one-off sedangkan umur belia di negara ini mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia adalah berusia 18 hingga 30 tahun yang juga majoritinya adalah pelajar IPT.

Jika dilihat pembentangan Belanjawan 2017, pelajar IPT memperoleh Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 manakala Belanjawan 2018, baucar tersebut digantikan dengan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) secara one-off sebanyak RM 250 sebelum diturunkan kepada RM100 semasa Belanjawan 2019.

Pemberian wang tunai seperti itu amat bermanfaat untuk digunapakai oleh seluruh pelajar IPT yang ingin membeli peralatan-peralatan belajar khususnya buku rujukan. Lebih 1.2 juta pelajar IPT belajar secara atas talian (ODL) yang menyukarkan mereka mencari bahan rujukan jika dibandingkan sebelum PKP yang membolehkan mereka ke perpustakaan untuk meminjam buku. Pihak KPT sewajarnya mencari alternatif seperti kemudahan mengakses bahan rujukan atas talian secara percuma.

Selain itu, pas perjalanan bulanan tanpa had RM5 sebulan untuk warga OKU dan pelajar Tahun 1 sehingga Tingkatan 6 perlu diperluas kepada pelajar IPT seperti asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah kerana pas ini diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 yang juga tergolong dalam kalangan pelajar IPT sedangkan pelajar IPT lain dikecualikan.
Sekiranya pandemik Covid-19 beransur pulih tahun hadapan, pelajar IPT ini terutama di Kuala Lumpur dan Selangor boleh mencari bahan rujukan di Perpustakaan Negara dengan menikmati kemudahan pengangkutan awam bernilai RM5 ini setiap bulan.

Pelajar IPT juga memerlukan kemudahan internet lebih-lebih lagi kuliah terkini dijalankan secara atas talian (ODL) yang memerlukan pelajar mempunyai kuota internet yang mencukupi.

Meskipun Belanjawan 2021 memperuntukkan RM1.5 bilion, kemudahan ini diberikan kepada 8 juta golongan B40 pada suku pertama 2021 secara kredit telekomunikasi sebanyak RM180 seorang dan bukannya kepada pelajar IPT.

Terdahulu, KPT memberi diskaun pelan internet di bawah Pakej Pelan Data kepada mahasiswa sedangkan kuota itu tidak mencukupi dan kelajuan internet tersebut tidak meliputi kawasan-kawasan seperti luar bandar untuk melibatkan diri dalam kuliah atas talian (ODL).

Kerajaan melalui KPT perlu berunding dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memberi diskaun yang relevan kepada mahasiswa di samping menaiktaraf sistem rangkaian internet di kawasan luar bandar bagi membolehkan pelajar mengikuti kuliah secara atas talian ini serta mencari rujukan-rujukan di internet.

Saya percaya bahawa kemudahan-kemudahan yang digariskan ini bukan sahaja meringankan beban mahasiswa malahan turut membantu ibu bapa mereka yang juga terkesan dengan keadaan ekonomi terkini.

Justeru, MoF wajar mengkaji aspek ini supaya golongan mahasiswa tidak terus dipinggirkan dan diberi kemudahan-kemudahan yang signifikan melalui Belanjawan 2021 yang inklusif ini.

*ALIF FAHMI ZAHARI merupakan mahasiswa Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengerusi Mahasiswa PKR UKM.

COMMENTS