Nigeria pun mahu hasilkan vaksin Covid-19, bagaimana Malaysia?

Nigeria pun mahu hasilkan vaksin Covid-19, bagaimana Malaysia?

Nigeria di Afrika Barat dengan jutaan rakyatnya hilang tempat tinggal dan terkorban akibat konflik berdarah komited untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Kebangsaan Pentadbiran dan Kawalan Makanan serta Ubat-ubatan (NAFDAC), Mojisola Adeyeye menyatakan hasrat yang mematuhi piawaian global itu menerusi laporan berita di laman web The Nation.

“Dengan berpandukan tanda aras global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan amalan terbaik antarabangsa, kami akan mencapai kemampuan penuh tahap tiga bagi membolehkan Nigeria menghasilkan vaksin sendiri,” lapor Bernama memetik agensi Anadolu.

Menurut Adeyeye, pihaknya sedang meningkatkan tahap kemampuan makmal kepada standard antarabangsa menggunakan peralatan yang diperakui ISO 17025.

“Makmal NAFDAC juga sedang menjalani perubahan termasuk menambah baik peralatan dan bekalan baharu,” katanya dipetik media tempatan semalam.

Nigeria yang masih menyaksikan keganasan Boko Haram sejak 2009 mempunyai jumlah penduduk paling miskin di dunia dan dalam masa sama kerap dilanda wabak taun.

Kanak-kanak berkejaran ketika operasi semburan nyah kuman di kem pengungsian di Maiduguri, timur laut Nigeria.

Pengganas Boko Haram dan kumpulan Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) dilapor mensasarkan pembalak, pengembala dan nelayan yang dianggap menjadi pengintip serta menyalurkan maklumat kepada tentera dan militan tempatan.

Keganasan terbaharu pada 28 November lalu, militan Boko Haram membunuh sekurang-kurangnya 43 orang pesawah di perkampungan Koshobe dengan mengikat dan menyembelih mereka manakala enam yang lain cedera parah ketika bekerja di sawah.

Kejadian letupan saluran paip dan trak tangki juga kerap berlaku di negara pengeluar terbesar minyak serantau dengan kira-kira dua juta tong sehari.

Adeyeye turut menjelaskan Nigeria mensasarkan menghasilkan vaksin Covid-19 sebanyak 70 peratus bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.

Beliau berkata NAFDAC adalah peneraju di Afrika dalam memastikan vaksin Covid-19 boleh mengesan dan mengenalpasti pesakit serta memantau tindak balas atau kesan dalam jangka masa panjang.

“Ini adalah norma baharu kami dan ini kerana kami sedang berubah cara kami berfikir. Kami mahu memberi perlindungan kesihatan untuk rakyat,” ujarnya.

Orang ramai berkumpul di Sekolah Menengah Sains Kerajaan di Kankara, Nigeria, 12 Disember lalu selepas pengganas Boko Haram mengaku menculik ratusan kanak-kanak lelaki di sekolah itu.

Nigeria pada masa ini berada di tangga ke-84 dunia kes positif Covid-19 dengan jumlah 77,013 kes dan 1,212 kematian.

Selain Nigeria, negara lain seperti India dan Thailand turut memberi tumpuan menghasilkan pelbagai vaksin versi tempatan mengikut kajian Pusat Kebangsaan bagi Maklumat Bioteknologi pada 2019.

Populasi di benua Afrika yang menyumbang 17 peratus penduduk dunia dilapor merekodkan kes kematian tertinggi akibat penyakit berjangkit.

Menurut kajian, negara benua itu tidak dapat menghasilkan vaksin yang dianggap penting untuk mengurangkan kematian dan meningkatkan jangka hayat serta mendorong pertubuhan ekonomi.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mampu menghasilkan vaksin Covid-19 jika formulanya telah ditemui.

Sementara itu di Malaysia setakat April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, pembuatan vaksin Covid-19 boleh dijalankan di negara ini jika formulanya sudah dikenal pasti.

“Mungkin formulanya sudah ada, kita boleh hasilkan di negara kita. Jadi, kalau kita sudah bekerjasama secara bersepadu dengan negara lain, data kita boleh menyumbang untuk menghasilkan kajian vaksin secara bersama,” katanya pada sidang media di Putrajaya, 22 April lalu.

Jelasnya, biarpun Malaysia belum ada keupayaan asas untuk mengenal pasti vaksin, tetapi dalam proses buatan, Malaysia mampu lakukan.

COMMENTS