Gempaq! Menteri Besar Kedah serah SUK ambil tindakan terhadap ‘Ffira Mikah’

Gempaq! Menteri Besar Kedah serah SUK ambil tindakan terhadap ‘Ffira Mikah’

Tidak pernah dibuat mana-mana pegawai daerah meletak nama sendiri secara terbalik untuk stadium yang dibina dengan peruntukan kerajaan.

Tidak pernah juga mana-mana mesyuarat pentadbiran peringkat daerah yang semua ahlinya mengampu tahap gaban mengangguk setuju apa yang disebutkan pegawai.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pun tidak bersetuju dan mendapati nama stadium mini itu hanya dibincang di peringkat MDPT.

“Sepatutnya PBT berkenaan mengangkat nama itu untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco terlebih dahulu, itu prosedur kita biasa lakukan untuk menamakan apa sahaja nama jalan, taman perumahan atau stadium di negeri ini.

“Saya sendiri tidak bersetuju dengan nama itu, jadi saya serah kepada SUK untuk ambil tindakan sewajarnya kepada pegawai daerah terbabit sesuai dengan urusan pentadbiran,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Nama stadium mini itu menjadi ‘sehodoh’ sebegitu selepas dinaik taraf tetapi kemudiannya diturunkan pada Sabtu, 12 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tiada nama baharu dikemukakan MDPT untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco bagi menggantikan nama Ffira Mikah.

“Hanya selepas Exco lulus boleh guna nama itu dan saya tidak fikir mereka akan guna balik nama Ffira Mikah kerana nama itu menyebabkan Padang Terap terkenal di seluruh dunia.

“Ada rahmat juga di sebalik nama itu, orang ramai mula cari di mana Padang Terap? Cuma saya sendiri terpalit apabila ada orang kaitkan kononnya saya yang cadangkan nama itu, tetapi itu tidak benar,” katanya.

Pada 7 Disember lalu, Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor merasmikan stadium mini itu.

Bagaimanapun, nama stadium yang mirip Mira Filzah dianggap orang ramai sebagai ejaan terbalik bagi nama Hakim Ariff.

Susulan itu, warganet mengecam dan menyindir Hakim Ariff selain mencadangkan nama stadium mini itu sebagai Stadium Mini Kuala Nerang atau Stadium Mini Merong Mahawangsa.

Walau bagaimanapun Hakim Ariff menyangkal dakwaan yang tular bahawa nama ‘Ffira Mikah’ itu sempena dengan namanya yang diterbalikkan.

Menurutnya yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap itu, nama baharu stadium tersebut tiada kaitan dengan namanya dan hanya secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.

Dia juga mendakwa nama stadium mini itu mempunyai maksud tersirat dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

“Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat,” lapor Sinar Harian, 13 Disember lalu.

Katanya lagi, dia memohon peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja menaik taraf stadium tersebut yang sebelum ini amat daif.

“Stadium itu sebelum ini keadaannya buruk dan persekitaran terbiar, banyak aspek dan fasiliti dibaiki antaranya tandas, bilik mandi dan padang. Kita cat warna-warni untuk tampil keceriaan agar ada tarikan.

“Pada masa sama, saya mahu jadikan stadium itu sebagai pusat kecemerlangan bagi melonjakkan semula sukan bola sepak sebagai produk daerah. Pengisian stadium itu lebih penting berbanding namanya,” kata Hakim Ariff lagi.

Ekoran respon yang mengaitkan gabungan bahasa Sepanyol atau Greek dan Arab itu, ‘gelombang kedua’ kecaman membanjiri media sosial.

Rata-rata warganet menyifatkan dia menipu kerana terang-terangan ungkapan ‘Ffira Mikah’ itu ejaan nama bagi ‘Hakim Ariff’ yang diterbalikkan.

COMMENTS