Membimbangkan! Kluster pekerja kilang Top Glove catat kes harian Covid-19 tertinggi!

Membimbangkan! Kluster pekerja kilang Top Glove catat kes harian Covid-19 tertinggi!

Sebanyak 1,067 kes positif Covid-19 dicatat hari ini di kluster Teratai sekaligus peningkatan baharu tertinggi bagi kluster aktif.

Jumlah keseluruhan kluster yang membabitkan pekerja kilang di Meru, Klang itu mencecah 2,524 kes sejak mula dikesan pada 7 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di negeri Selangor itu menunjukkan peningkatan kes mendadak sejak akhir-akhir ini.

Sehingga hari ini, jelasnya, terdapat 2,524 kes positif Covid-19 dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes disaring dalam kluster tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warganegara dan 2,360 bukan warganegara yang berusia antara dua hingga 68 tahun. Kebanyakan kes daripada kluster ini, pekerja kilang di kawasan Meru, Klang.

“Semua kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka dikuarantin untuk mengelakkan jangkitan kepada pekerja lain,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, kes indeks bagi Kluster Teratai iaitu kes ke-35263 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

Dr Noor Hisham berkata, pihak pengurusan kilang sudah mengambil langkah inisiatif untuk mengasingkan pekerja dikenal pasti sebagai kontak rapat di tempat kuarantin tertentu.

Tambahnya, walaupun kluster berkenaan mencatatkan jumlah kes positif tinggi, Dr Noor Hisham berkata, tiada individu memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian dilaporkan membabitkan kluster itu, setakat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 28 kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja kilang terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini berkata, penutupan 28 kilang itu bagi membolehkan semua pekerja menjalani ujian saringan dan kuarantin.

Sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan selama 14 hari di asrama pekerja asing Top Glove Corp Bhd di Meru, Klang, mulai 17 November lalu selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Pelaksanaan PKPD di kawasan asrama asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8 membabitkan 5,700 pekerja yang tinggal di asrama lelaki dan wanita dan 1,200 penduduk di kawasan berhampiran.

 

COMMENTS