Mahu bukti tiada risiko Covid-19, ahli politik gigit ikan mentah

Mahu bukti tiada risiko Covid-19, ahli politik gigit ikan mentah

Sanggup menggigit ikan mentah untuk membuktikan bahawa hidupan laut itu tidak membawa risiko jangkitan Covid-19.

Itu yang dilakukan seorang ahli politik Sri Lanka, Dilip Wedaarachchi, 63, yang juga bekas menteri perikanan negara digelar `Mutiara Lautan Hindi’ tersebut.

Dia membuat aksi itu di hadapan rakaman kamera video kelmarin dalam usaha membantu meningkatkan jualan ikan ketika pandemik Covid-19 menjejaskan sektor perikanan.

Beribu-ribu tan ikan gagal dijual selepas Pasar Besar Ikan Marker diarahkan ditutup susulan Covid-19 dan mendorong harga ikan terus merosot, lapor Agensi.

Klip video itu menunjukkan Wedaarachchi meletakkan satu beg plastik biru putih di atas meja dan mengeluarkan tiga ekor ikan dipercayai jenis kembung.

“Saya bawa ikan ini untuk tunjuk kepada kamu. Saya mahu memohon kepada orang ramai di negara ini supaya makan ikan. Jangan takut. Kamu tidak akan terkena jangkitan koronavirus.

“Kami akan makan (ikan) ini secara mentah. Saya akan makan dan tunjukkan kepada kamu,” katanya yang menggigit badan ikan tersebut.

Dia berkata, mereka yang terlibat dalam industri perikanan sebenarnya berdepan kesukaran untuk menjual bekalan ikan masing-masing.

“Orang di negara ini tidak mahu makan ikan lagi dan pemilik bot pula gagal turun ke laut. Mereka kini berhutang kerana tidak dapat menjual (hasil tangkapan) ikan,” jelasnya.

Jualan ikan di Sri Lanka menjunam mendadak selepas satu kluster besar dikesan di Pasar Besar Ikan di luar ibu negara itu sejak bulan lalu.

Penularan di pasar borong utama itu menyebabkan beribu-ribu kes jangkitan sebelum merebak di seluruh negara.

Sri Lanka hari ini mempunyai 18,402 kes positif Covid-19 termasuk 69 kematian.

COMMENTS