Mahathir pandai masak apa?

Mahathir pandai masak apa?

Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu beliau boleh menyediakan masakan mi bandung dan nasi goreng.

Malah, bekas Perdana Menteri dua kali itu tahu cara untuk menjadikan ikan bilis lebih rangup selepas digoreng.

“Saya boleh masak mi bandung dan nasi goreng. Saya adalah sikit kebolehan. Saya juga tahu cara-cara nak goreng ikan bilis bagi crispy,” kata Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata demikian dalam bual bicara santai bersama perantara Nizal Mohammad menerusi slot Nizal & Co yang bersiaran sebentar tadi.

Mahathir yang berusia 95 tahun itu turut ditanya tentang penamaan kesemua anaknya yang bermula dengan huruf ‘M’.

“Bapa saya menamakan semua anak lelaki bermula dengan huruf M. Jadi, saya hendak meneruskan hal itu,” jawabnya.

Beliau memberitahu penamaan kesemua anaknya juga adalah melalui rundingan dengan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mereka mempunyai tujuh anak, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Walau bagaimanapun, dalam masa sama Mahathir mengakui tidak mengingati kesemua nama cucunya.

Pendiri Klinik Maha yang juga klinik swasta milik orang Melayu pertama di Malaysia kini mempunyai 16 cucu dan dua cicit.

COMMENTS