Hishammuddin desak Umno tentukan parti yang mahu bergabung

Hishammuddin desak Umno tentukan parti yang mahu bergabung

Umno perlu menentukan dengan siapa parti itu mahu bergabung, sekiranya mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) malam ini memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasamanya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Umno bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan, adakah Umno akan bergerak bersendirian atau mula bekerjasama dengan DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurutnya, dalam menentukan kerjasama politik, Umno harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan kehadapan parti.

“Pertimbangan yang dibuat jangan bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek.

“Ini adalah kerana keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya Umno, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan dan juga kedudukan Umno dalam pilihanraya yang akan datang.

“Perancangan kerjasama politik Umno harus dibuat dengan teliti kerana pilihanraya bukannya esok. Umno mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 189 daripada 191 Umno bahagian menyokong menyokong usul untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihanraya akan datang.

Bagaimanapun, Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini mendakwa beliau mendapat maklumat bukan 189 Umno bahagian yang menolak, tetapi hanya 99 yang mengemukakan usul untuk tidak bekerjasama.

Katanya juga, hanya 120 bahagian sahaja yang hadir pada pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan, Umno perlu mengambil iktibar dari pilihanraya yang lalu apabila Umno kehilangan 54 kerusi dan hanya memenangi 79 kerusi daripada 133 kerusi yang dimenangi pada PRU13.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sembrong itu turut menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan sebagai Menteri, jika diminta berbuat demikian

 

Sumber: https://malaysiadateline.com/hishammuddin-tak-tahu-apa-umno-mahu/

COMMENTS