Helikopter merah langgar helikopter biru?

Helikopter merah langgar helikopter biru?

Seorang saksi memberitahu Astro Awani nampak helikopter berwarna merah melanggar bahagian helikopter biru sebelum bilah kedua-dua helikopter terbabit saling bergesel.

Helikopter biru itu kemudiannya terhempas di Taman Melawati di Ampang menjelang tengah hari tadi dengan bahagian ekor yang sudah terputus.

Dua maut dari helikopter itu dikenali sebagai Sabri Bahrom dan Irfan.

Dua mangsa lagi dalam sebuah helikopter berwarna merah selamat mendarat berdekatan padang Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Melawati iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi helikopter biru.

Juruterbang bagi helikopter berwarna merah itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga Presiden My Heli Club.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.46 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas.

“Terdapat empat mangsa termasuk seorang wanita. Dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

“Dua mangsa selamat selepas membuat pendaratan cemas di kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, seorang saksi yang merupakan penduduk tempatan, Jefry Rizal memberitahu terdengar beberapa kali dentuman sebelum dilihat berpusing-pusing di udara.

Kedua-dua jenazah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses selanjutnya.

Difahamkan, kedua-dua helikopter milik persendirian itu terbang dari Subang dan sepatutnya mendarat di Genting Sempah.

COMMENTS