Gempar! 50 petugas kesihatan Hospital Klang sah kena Covid-19!

Gempar! 50 petugas kesihatan Hospital Klang sah kena Covid-19!

Seramai 50 petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangkiti Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata siasatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan HTAR tidak dapat mengenalpasti punca jangkitan petugas kesihatan berkenaan.

“Sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke dalam hospital ataupun semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi iaitu selama 14 hari, namun keadaan terkawal.

“Kesemua kontak diambil swab ujian dan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO),” katanya.

Menurutnya, semua pesakit yang menjadi kontak kepada kes juga diambil ujian calitan yang sama.

Dalam masa sama, ujarnya, pengurusan rawatan pesakit di HTAR masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

Dr Sha’ari berkata, pihak hospital sentiasa berwaspada dan memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) sentiasa dipatuhi.

“Kedudukan daerah Klang yang berada dalam zon merah serta peningkatan kes-kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang mendapat rawatan di HTAR mengakibatkan kebarangkalian peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menasihatkan orang awam untuk tidak hadir ke hospital jika tiada urusan penting.

“Orang awam juga diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pihak JKNS akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital,” tambahnya lagi.

COMMENTS