Belanjawan 2021: ‘Masa untuk BN-Umno yang dibuli PN, tolak kerajaan Muyiddin’

Belanjawan 2021: ‘Masa untuk BN-Umno yang dibuli PN, tolak kerajaan Muyiddin’

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Taqiuddin Che Man menggesa agar ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menolak Belanjawan 2021 pada pengundian lusa jika tiada pindaan dibuat dalam belanjawan tersebut.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 hanya sekadar bersifat populis dengan angka-angka yang gah didengar, malah dibanggakan oleh Perikatan Nasional (PN) kerana dikatakan belanjawan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Namun katanya, unjuran pertumbuhan yang dibuat tidak masuk akal dan perbelanjaan yang dibentang tidak mampu memberi jalan keluar kepada negara dan rakyat dalam berhadapan pandemik Covid-19.

“Perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen juga dilihat seperti sukar bagi kerajaan melaksanakan pindaan yang dicadangkan oleh pihak pembangkang.

“Lebih malang lagi, Menteri Kewangan sendiri mengambil sikap defensif dan membuat ugutan sekiranya belanjawan ini tidak diluluskan, maka penjawat awam akan terjejas.

“Jelas ini adalah suatu sikap tidak bertanggungjawab pihak kerajaan dan tidak menghormati institusi Parlimen dalam meluluskan mana-mana Rang Undang-undang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Adun Pulai Sebatang, Johor itu juga menegaskan agar pendirian yang sama diambil oleh Ahli Parlimen yang lain untuk turut sama menolak Belanjawan 2021 sekiranya tiada pindaan dibuat.

Selain itu katanya, penolakan Belanjawan 2021 akan menjadi petunjuk jelas sama ada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen atau pun tidak.

“Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri telah memberikan isyarat yang jelas menolak Belanjawan 2021 dengan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan.

“Sedangkan Penasihat Umno pun sudah mengambil pendirian tegas tentang keabsahan kerajaan PN, adakah Umno perlu mengambil sikap bertentangan dengan penasihatnya?

Sehubungan itu, tegas Taqiuddin lagi, inilah masanya untuk Barisan Nasional (BN) dan Umno yang selama ini ‘dibuli’ oleh PN memberikan mesej jelas menolak Belanjawan 2021 sekali gus kerajaan pimpinan Muyiddin.

COMMENTS