Batu Sapi diisytihar darurat, PRK tidak dibenarkan

Batu Sapi diisytihar darurat, PRK tidak dibenarkan

Parlimen Batu Sapi di Sabah diisytiharkan darurat dan dengan itu, sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan dibenarkan untuk diadakan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan untuk mengisytiharkan perintah darurat di Parlimen tersebut.

Al Sultan Abdullah bertitah, amatlah wajar PRK Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

Al-Sultan Abdullah juga telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah.

“Dengan Pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16,” kata kenyataan itu.

 

sumber: MD

COMMENTS