Ahli Parlimen kerajaan pun bantah peruntukan JASA RM85 juta

Ahli Parlimen kerajaan pun bantah peruntukan JASA RM85 juta

Menjelang undi Belanjawan 2021, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang senada untuk membantah isu peruntukan sebanyak RM85.5 juta yang dibekalkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Menerusi temubual bersama wakil Ahli Parlimen Umno, Bersatu, AMANAH, dan DAP, keempat-empat mereka tidak bersetuju dengan peruntukan berlebihan kepada unit propaganda politik kerajaan yang dianggap lebih wajar dimanfaatkan untuk membantu rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam dari AMANAH, Khalid Samad berkata, JASA yang mahu dihidupkan semula itu tidak harus menerima peruntukan sebesar itu dalam keadaan rakyat lebih memerlukan bantuan.

“Ini yang paling sensasi. Peruntukan untuk JASA membabitkan jumlah lebih RM85 juta yang merupakan tertinggi dalam sejarah.

“Zaman Pakatan Harapan (PH), kita langsung tak ada (Jasa) sebab kita sudah ada Kementerian Penerangan dan agensi lain.

“Tiba-tiba belanjawan Jasa ditingkatkan ketika kita tengah sibuk dengan pandemik,” katanya dalam temubual di Astro Awani malam tadi.

Bagaimanapun kata Khalid, jika belanjawan sedia dipinda membabitkan peruntukan Jasa, enam tuntutan PH yang diutarakan sebelum ini juga akan dipertimbangkan sebagai penentu sokongan pembangkang.

Hal itu turut disokong Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching yang mengagak semua pihak tidak akan bersetuju dengan peruntukan kepada Jasa dan adalah lebih baik jika kerajaan segera mendapatkan sokongan bipartisan.

“Saya rasa semua kurang setuju dengan peruntukan Jasa sebanyak RM85 juta. Banyak backbenchers utarakan isu berkenaan.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu jamin mereka akan buat pindaan terhadap peruntukan tersebut dan saya rasa lebih baik untuk mereka dapatkan sokongan bipartisan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Tanjung Karang dari Umno, Tan Sri Noh Omar, kerajaan perlu meneliti semula sama ada Jasa perlu diwujudkan semula atau tidak dalam keadaan negara sedang mengalami kegawatan ekonomi.

“Persoalannya, sesuai atau tidak sesuai nak wujudkan dalam keadaan ekonomi kita sedang terjejas. Rakyat tengah susah. Mana lagi penting?

“Nak lantik pegawai Jasakah atau nak tolong rakyat? Ini kena pertimbangkan. Saya setuju wujudkan Jasa tapi adakah perlu di waktu kita menghadapi Covid-19,” hujahnya.

Ahli Parlimen Beaufort dari Bersatu, Datuk Azizah Mohd Dun yang menyatakan akan menyokong Belanjawan 2021 turut menganggap peruntukan Jasa adalah tidak sesuai ketika ini dan sebaiknya ia ditunda.

“Memang Jasa ini ada gunanya tetapi saya sama macam Tan Sri Noh, buat masa ini sesuai ke?

“Mungkin boleh dibuat pada tahun 2022. Tapi buat masa ini perlu digunakan untuk tujuan lain yang akan beri manfaat pada rakyat,” ujarnya lagi.

COMMENTS