Adun Pahang diarah bayar kompaun langgar PKPB di Selangor

Adun Pahang diarah bayar kompaun langgar PKPB di Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengesahkan beliau diarah supaya menjelaskan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, minggu lalu.

Wakil rakyat DAP itu berkata, beliau akan menjelaskan bayaran kompaun itu dalam masa terdekat dan pihak polis memaklumkan bahawa kes terhadapnya itu dianggap selesai.

“Saya meminta maaf kerana melanggar SOP PKPB yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Saya juga memohon maaf kepada semua rakyat Pahang atas kesilapan itu,” kata bekas jururawat peribadi itu.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (Belanjawan 2021) pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.

Pada 8 November lalu, Young Syefura atau mesra dipanggil Rara, 30, memuat naik foto di Instagram memperlihatkan dirinya dan empat individu lain berkelah di pantai dekat Avani Sepang Goldcoast Resort, Selangor.

Majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di pantai Bagan Lalang tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal itu kemudiannya mengundang kritikan orang ramai.

Ekoran itu, Rara memadam gambar tersebut dan memohon maaf dan rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakannya melanggar sebarang SOP Covid-19.

Pemimpin Wanita DAP itu kemudiannya dipanggil dan keterangannya direkodkan pada 10 November lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selangor adalah antara negeri yang dikenakan PKPB sehingga 6 Disember ini, dan orang ramai dilarang merentas daerah tanpa urusan penting sepanjang tempoh tersebut.

COMMENTS